Tahun ini ialah ulangtahun ke-93 bagi salah satu peristiwa abad ke-20 yang paling penting dan paling mengharukan. Tetapi anda tidak akan menyedarinya dari mana-mana suratkhabar atau rancangan television. Revolusi di Rusia pada tahun 1917 adalah peristiwa yang dibenci oleh mereka yang mempertahankan sistem yang kita menghadapi setiap hari. Ini adalah kerana rakyat jelata telah mengambil kehidupan mereka ke dalam tangan sendiri.
Ahli-ahli sejarah yang membenci peristiwa ini mendakwa bahawa ia merupakan konspirasi oleh sebuah kumpulan kecil yang dikenali sebagai pihak Bolshevik. Tidak terdapat apa-apa yang lebih jauh dari kebenaran. Krisis sosial yang wujud pada masa itu bermakna bahawa rakyat tidak dapat berterusan dalam keadaan melarat seperti itu. Orang yang beberapa tahun sebelum itu mungkin tidak menghiraukan seseorang yang menjual suratkhabar Bolshevik kini menyedari sesuatu yang berbeza.
Untuk memenuhi tuntutan-tuntutan asas rakyat – makanan bagi para pekerja di bandar, pemberian tanah kepada kaum petani, pengakhiran serta-merta kepada peperangan – sudah pasti akan berlakunya revolusi.
Bulan-bulan pergolakan yang bertumbuh telah meletus pada pagi 7hb November (25hb Oktober pada kalendar lama). Kumpulan-kumpulan pekerja, kadang-kala diiringi oleh askar-askar yang menyokong revolusi, telah menduduki stesen-stesen keretapi, stesen-stesen penjana kuasa, gudang-gudang senjata, bank-bank, pusat-pusat telefon dan kilang-kilang pencetak di seluruh Petrograd. Malah mereka di barisan hadapan yang mempertahankan sistem lama telah diubah oleh pergolakan popular.
Seorang wartawan Amerika Syarikat, Albert Rhys Williams, telah menghuraikan reaksi pihak askar yang bertanggungjawab untuk menghalang apa-apa pemberontakan. Mereka dikenali sebagai Pengawal Putih. “Mereka membuang topi, tali pinggang dan pedang. Tanda-tanda kehormatan kini menjadi tanda-tanda kemaluan dan kematian,” katanya Williams. “Seorang pegawai tentera yang menjumpai blaus di tempat menjemur baju menjadi sangat gembira. Seorang kapten yang menjumpai apron pemasak memakainya, menyelimuti tangannya dengan tepung dan, sudah putih dengan ketakutan, menjadi Pengawal Putih yang paling putih di seluruh Rusia.”
Satu-satunya tempat yang tidak tumbang kepada revolusi merupakan Istana Musim Sejuk, iaitu tempat tinggal bekas pemerintah Tsar. Ia kekal sehingga akhir hari. Rakyat terpaksa mengancamnya dengan meriam sebelum ia juga menyerah diri. Pertempuran yang lebih lama telah berlaku di Moskow, tetapi seluruh negara berada dalam tangan pihak revolusioner tidak lama selepas itu.
Pada hari selepas kebangkitan Petrograd, seorang revolusioner bernama Vladimir Lenin telah berucap kepada kongres wakil-wakil dari majlis-majlis pekerja yang telah diasaskan di seluruh Rusia. Ia dinamakan soviet-soviet. Wartawan Amerika Syarikat bernama John Reed telah menggambarkan “ombak sorakan” yang mengalu-alukan pemimpin ini “yang berpakaian baju tidak kemas, seluarnya terlalu panjang baginya. Tidak hebat untuk menjadi pujaan pergolakan, tetapi disayangi dan disanjung seperti hanya beberapa pemimpin dalam sejarah.”
Berita mengenai revolusi itu telah menyebar dengan pantas. Tidak terdapatnya television untuk menyampaikan gambar-gambar kuasa pekerja. Media massa dunia telah menciptakan penipuan dan pemesongan, dengan pengecualian beberapa wartawan yang ikhlas dan berani seperti John Reed. Tetapi mesej tersebut telah disampaikan.
Harry McShane, seorang pekerja kejuruteraan militan di Glasglow, mengingati:
Apabila Lenin menuntut “segala kuasa kepada soviet-soviet,” ia bermakna bahawa mereka telah menjumpai sistem pentadbiran sendiri oleh kelas pekerja melalui mana susunan lama telah dihapuskan. Kami bermula menyedari apa yang dimaksudkan oleh revolusi. Kami dahulunya hanya mengenali pemberontakan kelas pekerja. Kini kami membincangkan kuasa kelas pekerja.
Pada permulaan tahun 1917, Rusia telah berperang selamsa dua setengah tahun. Kerajaan Tsar yang korupse dan tidak cekap tidak lagi dapat menangani tekanan bertempur menentang negara-negara yang lebih maju dari segi ekonomi. Pihak askar telah berputus asas, penduduk awam menjadi lapar dan marah. Perubahan meluas tidak dapat dielakkan.
Pada bulan Februari, siri permogokan telah meletus. Pada tahap ini, para pekerja biasa jauh lebih teratur daripada pihak revolusioner. Sekumpulan pekerja perempuan di kilang penenunan telah bermogok di Petrograd, walaupun majlis Bolshevik tempatan telah menasihatkan mereka agar jangan bertindak sedemikian. Leon Trotsky, seorang revolusioner utama, telah menotakan bahawa kaum perempuan itu lebih berani daripada kaum lelaki.
Sambil permogokan-permogokan itu berubah menjadi kebangkitan popular, Tsar telah melarikan diri. Sebuah Kerajaan Peralihan baru telah diasaskan, dan percaya bahawa penyelesaian kepada masalah-masalah Rusia merupakan demokrasi parlimen jenis Barat. Tetapi para pekerja sedar bahawa perdebatan-perdebatan parlimen tidak akan memenuhi perut mereka dengan roti. Mereka telah mengasaskan soviet-soviet – iaitu majlis-majlis yang terdiri daripada wakil-wakil pekerja. Di kilang-kilang besar, majlis-majlis pekerja tersebut telah mencabar kuasa pihak pengurus.
Secara umumnya, kini terdapat dua kerajaan. Satu mendakwa bahawa ia mentadbir negera melalui cara-cara pentadbiran lama, sambil yang satu lagi telah menunjukkan kawalan ke atas tempat-tempat bekerja dan jalan raya. Keadaan ini merupakan keadaan yang dirujuk kepada oleh pihak Marxsis sebagai ‘dwi-kuasa.’
Setelah membina satu revolusi, para pekerja tidak menjangka bahawa mereka terpaksa membina revolusi baru. Pada mulanya, mereka telah beralih kepada parti-parti sosialis sederhana, yang berjanji untuk meletak tekanan pada bahu Kerajaan Peralihan. Tetapi pemerintah-pemerintah baru tidak dapat memenuhi tuntutan-tuntutan asas rakyat. Seluruh struktur masyarakat terus mereput.
Pada tahun itu, sekurang-kurangnya dua juta orang askar telah meninggalkan tentera. Seluruh unit askar telah meletakkan senjata, menyerang keretapi, menaiki bumbung keretapi dan membuang air kecil ke dalam bahagian-bahagian keretapi yang digunakan oleh golongan kaya. Mereka telah membawa semangat revolusioner baru kembali ke kawasan desa. Rumah-rumah pihak pemilik tanah diserang dan dihancurkan.
Persoalannya adalah: siapakah yang mentadbir masyarakat? Ia merupakan pertempuran yang semakin bertumbuh di antara pihak pemilik tanah lama serta pemilik-pemilik kilang, dengan kuasa-kuasa kerajaan di sebalik mereka, menentang golongan pekerja yang marah. Di beberapa kilang, para pekerja telah membuang pengurus kilang ke dalam kereta sorong dan membuangnya di luar pagar kilang. Apabila pegawai-pegawai tentera sayap kanan mencuba merampas kuasa, para pekerja telah berjuang. Pihak pekerja keretapi telah mengalihkan keretapi-keretapi yang membawa pegawai-pegawai itu dan membantu merosakkan percubaan rampasan kuasa.
Terdapatnya tiga parti sosialis utama pada masa itu. Yang paling militan daripada mereka, iaitu Parti Bolshevik, telah bangkit sebagai parti yang berkuasa. Pada permulaan tahun itu, ia mempunyai lebih kurang 4,000 ahli – menjelang akhir tahun itu, mungkin 250,000 ahli. Tidak sesiapa yang mengetahui jumlah sebenar. Ahli-ahli parti itu mempunyai urusan yang lebih penting daripada menyimpan senarai keahlian! Di satu bandar, parti itu telah bertumbuh dari sepuluh ahli menjadi 5,000. Menjelang bulan Julai, pihak Bolshevik telah mengeluarkan 41 suratkhabar dan jurnal. Namun, mereka masih ditindas, dengan pemenjaraan dan penahanan ahli-ahli utama. Tidak terdapatnya kerisauan bahawa orang telah menjadi ahli parti tersebut untuk melanjutkan kerjaya mereka.
Pihak Bolshevik bukanlah sebuah kumpulan rapat yang melompat apabila Lenin mengarah mereka untuk melompat. Lenin terpaksa berjuang untuk meyakinkan kepimpinan parti tersebut, iaiti majlis pusat, bahawa ia bukanlah mustahil untuk bersedia demi pengambilan kuasa. Ini bukanlah perbincangan-perbincangan sulit. Di jalan-jalan raya, para pekerja sedang membaca risalah Lenin bertajuk Dapatkah Pihak Bolshevik Merampas Kuasa Kerajaan?
Lenin bukanlah seorang diktator zalim. Dia juga telah membuat kesilapan dan terpaksa dibetulkan oleh komrad-komradnya. Pada mulanya, dia ingin memanggil pemberontakan dengan nama parti. Ia sudah pasti menjadi kesilapan besar, kerana ramai pekerja dan askar belum lagi memberikan sokongan kepada pihak Bolshevik. Trotsky telah meyakinkan Lenin bahawa kebangkitan itu patut dipanggil dengan nama soviet-soviet, yang mewakili aliran-aliran berbeza dalam gerakan pekerja.
Pihak Bolshevik bersedia untuk bekerjasama dengan kumpulan-kumpulan politik lain yang berkongsi matlamat-matlamat utama mereka. Terdapatnya empat orang anarkis pada Majlis Revolusioner Ketenteraan yang mengaturkan pemberontakan di Petrograd. Tetapi apabila Kerajaan Peralihan membuat rancangan pada bulan Oktober untuk mencuba menghapuskan ancaman yang dihadapkan oleh gerakan revolusioner, nilai sebuah parti berpusat yang dapat bertindak dengan cepat dan mengatur tindakan telah menjadi jelas.
Kerajaan Peralihan telah timbang dalam masa beberapa jam. Pemimpinnya, iaitu Kerensky, telah melarikan diri. Pada awal tahun 1960-an, dia seringkali dilihat di tempat minuman Kesatuan Universiti Oxford, merungut mengenai kehidupannya yang dibazirkan.
Revolusi tersebut merupakan inspirasi kepada para pekerja di seluruh dunia. Kuasa-kuasa Barat telah membawa pengakhiran kepada Perang Dunia Pertama dengan laju agar mereka dapat menyerang musuh bersama, iaitu Rusia. Lebih satu dozen tentera asing telah menyerang Rusia dan bekerjasama dengan pihak reaksioner di Rusia dalam perang saudara.
Jerman, sebuah kuasa perindustrian utama pada masa itu, kelihatan seperti sedia untuk revolusi di antara tahun 1919 dan 1923. Tetapi Parti Komunis, yang didirikan selepas revolusi di Rusia, kekurangan pengalaman, kemahiran politik dan keyakinan seperti pihak Bolshevik. Revolusi di Jerman telah gagal.
Akhirnya, seorang pemimpin Bolshevik yang hanya memainkan peranan kecil pada tahun 1917, iaitu Stalin, telah bangkit ke puncah parti itu. Dia telah menghantar kebanyakan bekas komrad-nya untuk dibunuh, dan telah mendirikan sebuah rejim zalim lagi korupse yang telah mengheret nama komunisme ke dalam lumpur.
Tetapi bagi mereka yang terus berjuang demi kuasa pekerja dan sosialisme sejati, Oktober 1917 kekal sebagai contoh revolusi. Walau betapa pendeknya kejayaan tersebut, ia merupakan contoh berjuta-juta pekerja biasa mengambil kehidupan mereka ke dalam tangan sendiri.
1 comment:
HIDUP PEKERJA
Post a Comment